AttOkzDikulgai
setahun yang lepas
Buana, Merawat Luka Di Musim Sepi

Buana, Merawat Luka Di Musim Sepi


sunyi, tatkala wabak merebak—nafas besi beroda di kota-kota mendiam, cerobong industri suram tak menjeluak jelaga. haba menjadi kelam tak merewak mengapung, bahang pun terpendam.


khabarnya, ozon merawat diri pulih kembali di sebelah sana. angin dingin perbukitan belantara singgah berolak di kota-kota sepi, saat gerombolan karbon tak lagi berhimpun. di hutan pekat menghijau; unggas bercempera riuh bertandak dan sibuk membiak.


sungai kembali mencermin jernih. bayang cakcibur terpantul mencecah permukaan meriak gelombang mengejutkan ikan meliuk mengilas di dasar berkejaran bebas.


segala cemar kelodak keruh dari hulu terhenti menghilir

seiring kerakusan insan nan menjarah setiap inci tanah, mengejar kemodenan, tamak mengumpul laba; haloba—menternak bencana atas milik yang dipinjam daripada generasi warisan.

rupanya wabak merebak mengirim amaran sekaligus peringatan; keangkuhan hanya mutlak milik tuhan.


...

AttOkz Dikulgai

PKP39 BTSKL

25.iv.20