1. Ulasan buku - Aksi
FADHILAHBTAHMAD
2 tahun yang lepas
Menumpang Teduh Pohon Akasia ( Somaliland Bukan Somalia)

Penulis : Muhammad Suhail Ahmad

Tahun Terbitan : 2016

Penerbit :Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd

Harga :28.00

Jumlah Halaman :251

ISBN :978-967-86-0672-1

Ia merupakan sebuah buku travelog ke sebuah destinasi yang jarang diterokai oleh rakyat Malaysia. Buku ini ditulis oleh bekas peguam lulusan UIAM dalam bidang Undang-undang Sivil dan Syariah. Pengalaman yang luas dalam bidang perundangan sehingga peringkat antarabangsa membuatkan penulis cenderung dalam bidang pengembaraan, penulisan dan kesukarelaan. Pengembaraan beliau secara tidak sengaja ke Somaliland kerana tujuan asal adalah untuk bertemu rakannya atas urusan perniagaan, rupanya berakhir dengan sesuatu yang sangat bermakna.

Buku ini membuka mata saya bahawa terdapat sebuah republik bernama Somaliland yang mana kewujudannya telah dinafikan kerana tidak ada satu negarapun mengiktirafnya. Kebanyakan kita hanya mengetahui kewujudan Somalia. Walaupun rakyat Somaliland berbangsa Somali yang serumpun dengan rakyat Republik Somalia, namun mereka saling tidak mahu berkaitan. Pelik tapi benar.

Kehidupan masyarakat Somaliland yang seperti nomad itu juga sebenarnya menjana pendapatan yang tidak terfikir dek akal fikiran saya. Bayangkan purata hasil jualan unta sekitar USD30,000.00 sehari bagi seorang pengusaha! Mereka tidak menggunakan sistem perbankan dan kesannya perisikan Amerika tidak dapat memantau kekuatan kewangan mereka. Sesuatu yang amat mengkagumkan penulis apabila mendapati gelombang 4G telefon bimbit sentiasa penuh di kawasan gurun tersebut pada tahun 2015 itu. Banyak kisah sejarah terutama sejak zaman Uthmaniyyah , ketamadunan dan budaya unik mereka dipaparkan dalam buku ini.

Paling mengujakan buku ini merupakan buku travelog interaktif pertama di Malaysia yang mana membolehkan pembaca mmengimbas Kod Bar di halaman yang disediakan untuk merasai sendiri suasana sepanjang pengembaraan penulis.

Saranan saya, bacalah kembara gurun Somaliland ini dan saya yakin rakan maya di luar sana akan merasakan seolah-olah mengikuti penulis dari setiap langkah yang dihayunnya.