1. Cerpen - Motivasi
AinLee
8 bulan yang lepas
NUR JANNAH

Siti gembira apabila disahkan mengandung untuk kali pertama. Siti telah menunjukkan alat ujian kehamilan kepada suaminya Malik dengan perasaan yang teruja. Malik berasa terkejut setelah melihat alat ujian kehamilan itu mempunyai garisan berkembar. Usia perkahwinan mereka berdua bakal menginjak 7 tahun. Harapan Siti dan Malik ibarat mendaki Gunung Kinabalu. Siti telah mengajak suaminya untuk ke klinik bagi mengesahkan kebenaran bagi mengelakkan kekecewaan berulang kembali. Dengan sepantas kilat, Malik telah menghidupkan enjin kereta dan melaung panggilan manja isterinya, “Sayang, cepatlah bersiap tu. Abang dah tak sabar ni.” Dengan sepantas kilat, Siti telah bersiap dan keluar dari rumah lalu masuk ke dalam kereta. Kereta dipandu laju oleh Malik disebabkan perasaan gembira yang tidak terungkap. Mereka berdua saling berpegang tangan sambil Siti mengusap perutnya yang belum kelihatan kembung itu. Sampai sahaja di Klinik Urma mereka berdua terus ke kaunter pertanyaan untuk membuat temujanji berjumpa dengan doktor. Mereka berdua sabar menunggu sehingga nama Siti dipanggil untuk berjumpa dengan doktor. Seusai nama Siti dipanggil, mereka berdua masuk berjumpa dengan doktor perempuan yang bernama Cempaka. Doktor telah mengesahkan bahawa Siti memang benar-benar hamil setelah membuat ujian air kencing. Dalam masa yang sama, doktor telah meminta Siti baring di satu sudut untuk memeriksa perutnya dengan satu alat yang berteknologi canggih. Doktor meminta Malik melihat skrin di kaca televisyen di hadapannya untuk melihat apa yang ada di dalam perut isterinya. Malik terkejut ada benda bulat yang kecil dan Siti turut teruja apabila melihatnya. Malik seakan tidak percaya bahawa dia bakal menerima cahaya mata dalam masa 9 bulan lagi. Sejurus mereka sampai di rumah, Malik membuka pintu untuk isteri kesayangannya itu. Hati Siti berbunga keriangan memikirkan anak di dalam perutnya dan dia tidak sabar untuk menjadi seorang ibu. Mana tidaknya, saudara dan sepupu semua sibuk bertanyakan bila nak ada anak. Siti bukan tidak mahu anak, tetapi belum ada rezeki yang Allah nak berikan kepada mereka. Bukan mereka berdua tidak berusaha. Bermacam-macam kaedah mereka telah usahakan termasuklah perubatan tradisional di kampung. Namun usaha mereka sebelum ini tidak mematahkan semangat untuk terus berdoa kepada Yang Maha Esa untuk memakbulkan hajat mereka untuk mendapatkan cahaya mata. Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan doa mereka setelah 7 tahun usia perkahwinan mereka baru-baru ini. Siti tergerak hati untuk memeriksa dirinya dengan alat ujian kehamilan disebabkan sudah sebulan tidak datang bulan. Siti meminta suaminya membelikan di kedai farmasi yang berdekatan dengan rumahnya. Apabila Siti telah periksa dirinya, melompat keriangan di dalam bilik air. Namun Siti merahsiakan daripada pengetahuan suaminya. Malik berasa pelik kerana Siti tidak memaklumkan apa-apa setelah dia memberi alat ujian kehamilan itu. Setelah 4 minggu, baru Siti memberitahu suaminya akan perkara yang sebenar. Disebabkan itulah, Malik beriya mengajak Siti untuk berjumpa dengan doktor bagi mengesahkan perkara tersebut. Setelah mendapat keputusan daripada doktor baru-baru ini, Malik berasa sangat bahagia sehingga mahu mendukung Siti untuk masuk ke rumah. Malik tidak mahu Siti banyak bergerak dan biar dia sahaja yang membuat kerja rumah. Beruntung sangat Siti mendengarnya. Usia kandungan Siti sudah 14 minggu. Dari Siti dapat tahu dirinya mengandung, bermulalah episod Siti muntah-muntah. Siti belum memaklumkan kedua-dua keluarganya lagi, memandangkan usia kandungannya masih muda lagi. Dalam masa yang sama, Siti turut tidak boleh masuk ke dapur. Siti turut tidak masak selama dia mula mengandung sehingga sekarang. Namun Malik tidak ambil hati disebabkan Siti mempunyai alahan yang teruk sangat. Nasiblah Malik pandai masak dan uruskan diri di samping isterinya hanya mampu baring di atas katil. Namun demikian, Siti bukanlah seorang surirumah. Siti bekerja sebagai seorang guru di sekolah rendah.. Mujur majikan Siti memahami akan alahan Siti yang agak teruk itu. Walaupun demikian, Siti tetap datang bekerja dan sampai sahaja di rumah, Siti akan terus baring di katil sehingga suaminya balik dari bekerja. Siti boleh pergi bekerja namun pergerakannya agak terhad untuk bergerak ke sana ke sini. Perut Siti makin lama makin membesar. Alahan Siti mula makin berkurangan apabila usia kandungan Siti mula menginjak 20 minggu. Malik berasa gembira kerana apabila meletakkan tangan pada perut isterinya, ada tindak balas oleh anaknya. Dalam masa yang sama, anak yang dikandung oleh Siti turut aktif dan sihat membesar serta cukup beratnya apabila setiap kali mereka berdua pergi buat pemeriksaan di klinik swasta. Pada pagi Sabtu yang indah, Siti mengajak Malik untuk ke klinik bagi pemeriksaan lanjut disebabkan pada usia kandungan sebeginilah, boleh kita lihat secara terperinci keadaan bayi tersebut. Malik membawa isterinya ke Klinik Urma untuk membuat pemeriksaan detail scan. Mereka berdua adalah pelanggan tetap klinik tersebut dan sudah biasa dengan keadaan di dalam klinik yang mesra pengguna itu. Pembantu klinik telah memanggil nama Siti untuk masuk ke dalam berjumpa dengan doktor. Mereka berdua terus duduk di hadapan doktor dan doktor memulakan pertanyaan kepada Siti. Selepas itu, doktor meminta Siti baring di sudut sebelah kiri untuk membuat pemeriksaan ke atas perutnya. Sambil doktor memeriksa dan scan, doktor turut menerangkan keadaan bayi tersebut dari kepala hingga kaki. Semua anggota badan bayi tersebut sempurna, namun terdapat ada sedikit cecair lebihan di bahagian belakang leher bayi tersebut. Namun doktor menerangkan secara lebih jelas kepada mereka berdua, kemungkinan besar cecair itu akan hilang apabila bayi semakin membesar di dalam kandungan. Sebagai langkah berjagajaga doktor menasihatkan untuk berjumpa dengan pakar sakit puan di hospital. Doktor akan menulis surat untuk Siti bagi membuat pemeriksaan dengan lebih lanjut di Hospital Shah Alam. Mereka berdua pulang ke rumah dengan perasaan gelisah. Namun dalam masa yang sama, mereka sentiasa berdoa agar anak mereka sempurna dan sihat apabila dilahirkan. Siti berasa gembira kerana hasil pemeriksaan detail scan yang dibuat, mereka berdua mendengar denyutan jantung bayinya dengan kuat dan jelas. Setiap kali selesai solat, pasangan suami isteri tersebut sentiasa mendoakan bayi mereka berada dalam keadaan sihat, sempurna dan membesar dengan baik. Di samping itu, mereka berdua juga turut memberitahu orang tua mereka di kampung agar sentiasa mendoakan kesihatan bayi dan ibu sentiasa sihat sahaja. Mereka tidak memberitahu keadaan sebenar apa yang berlaku, disebabkan keadaan orang tua mereka yang sudah tua. Orang tua mereka turut teruja akan berita kehamilan Siti yang telah mencecah 6 bulan itu. Siti turut membuat pemeriksaan di klinik kesihatan mengikut temujanji yang telah diberi oleh jururawat yang bertugas. Hari demi hari, bulan demi bulan, kandungan Siti telah mencecah 36 minggu. Ini bermakna bila-bila masa sahaja Siti akan bersalin. Oleh yang demikian, Siti telah mengambil beberapa inisiatif yang mana telah meletakkan beg pakaiannya dan bayi ke dalam bonet kereta. Malik turut berjaga-jaga kerana takut isterinya akan bersalin ketika membawa kereta untuk pergi bekerja atau bila-bila masa sahaja sepanjang beliau tiada di rumah. Malik turut berasa risau kerana teringat peristiwa mereka berdua pergi ke klinik tempoh hari yang mana doktor menyatakan terdapat cecair di bahagian belakang leher bayinya. Namun mereka turut kerap membuat pemeriksaan di klinik luar bagi memastikan semuanya dalam keadaan sihat sahaja. Cecair itu sudah hilang, namun doktor ada menemui perkara lain pula, tetapi doktor tidak menyatakan secara jelas lagi. Mereka lebih teruja akan tumbesaran bayi mereka yang telah mencecah 2.5 kilogram itu sehingga terlupa akan perkara lain yang telah disampaikan oleh doktor tersebut. Walaupun keadaan Siti telah sarat, namun semangatnya untuk mengajar anak muridnya dalam pertandingan sajak tidak mengecewakan. Ini disebabkan guru besar sekolahnya telah memberikan amanah terakhir sebelum beliau selamat bersalin dalam tempoh lagi 3 minggu, kalau diikutkan kata doktor. Oleh yang demikian, Siti telah bersungguh-sungguh melatih anak muridnya semasa waktu rehat bagi memastikan kejayaan dapat mereka peroleh. Hari pertandingan telah pun tiba. Malik berasa risau akan kesihatan isterinya. Ini disebabkan semakin dekat hari pertandingan, Siti kerap tidur lewat dan sentiasa berjaga malam. Dalam masa yang sama, Siti turut menjemput Nur, anak muridnya untuk tinggal selama dua hari di rumahnya setelah mendapat keizinan ibu bapanya. Lagipun, Malik perlu keluar daerah secara mengejut selama 4 hari, sedangkan isterinya tengah menghitung hari untuk bersalin. Setibanya Malik di rumah setelah selesai kerjanya di negeri Sabah, beliau terlihat muka isterinya yang tertidur di atas sofa kelihatan sangat penat dan tidak bermaya. Malik berasa risau akan keadaan isterinya yang sudah sarat itu. Siti telah membawa Nur ke sekolah lain untuk pertandingan mendeklamasikan sajak. Berkat usaha Siti dan anak muridnya itu, sekolah mereka telah layak ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah Siti berasa sangat puas hati dan lega setelah pengacara majlis mengumumkan yang Nur telah mendapat tempat pertama dalam acara mendeklamasikan sajak. Siti telah menghantar Nur pulang ke rumah dan mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa Nur atas komitmen yang diberikan. Selepas itu, Siti memandu laju untuk pulang ke rumahnya kerana cuaca di langit kelihatan mendung dan gelap. Tibanya Siti di rumah, Malik telah menunggu di hadapan muka pintu. Malik berasa risau akan keadaan isterinya yang makin sarat itu. Menjelang malam, tiba-tiba perut Siti berasa sakit. Sebelum itu, mereka berdua hanya makan nasi goreng yang di masak oleh Malik. Siti mengadu kesakitan kepada suaminya dan terus Malik menggesa Siti untuk bersiap masuk ke kereta untuk ke hospital. Sejurus sampai di hospital, Malik terus ke bahagian kecemasan bersama Siti yang masih mengerang kesakitan. Pegawai kesihatan meminta Siti untuk baring di katil di bahagian wad kecemasan untuk memeriksa kandungan Siti. Malik terus keluar dari wad kecemasan itu untuk menguruskan kemasukan Siti ke hospital. Siti telah ditempatkan ke bilik pembedahan untuk proses melahirkan anak. Dalam tempoh 5 jam, Siti telah selamat melahirkan anak pertama mereka. Dalam pada masa yang sama, Malik turut menghubungi orang tua mereka di kampung untuk memberitahu keadaan Siti yang telah berada di bilik pembedahan untuk melahirkan anak. Apabila anak mereka telah lahir ke dunia ini, perkara pertama yang mereka mahu lihat adalah anggota badan. Doktor telah mengesahkan jantina bayi tersebut adalah perempuan. Namun ada sedikit kekeliruan yang mana, terdapat lebihan lemak atau kalenjar di bahagian leher bayi tersebut membuatkan doktor ingin menyiasat dengan lebih lanjut. Dalam masa yang sama, anak tersebut perlu ditempatkan di dalam unit rawatan rapi (ICU) kerana denyutan jantungnya agak lemah. Siti berasa sedih kerana tidak dapat melihat lagi anak kesayangannya itu, kerana keadaan Siti yang agak lemah sejurus melahirkan anaknya itu. Malik masih merahsiakan keadaan anak tersebut daripada pengetahuan Siti, kerana takut Siti akan bertambah sedih dengan emosi yang belum stabil lagi. Bayi tersebut telah diberi nama Nur Jannah oleh kedua ibu bapanya yang bermaksud Cahaya Syurga. Apabila Siti telah dibenarkan pulang ke rumah bersama anaknya, Malik telah menyiapkan segala keperluan Siti sehari sebelum Siti boleh keluar wad dan ibu bapa mereka juga turut kelihatan bersama-sama untuk menyambut kepulangan anak menantu dan cucu mereka. Mereka berdua redha akan keadaan anak mereka yang kelihatan agak pelik di mata orang, namun di mata mereka berdua anak tersebut adalah unik dan istimewa. Kelahiran Nur Jannah adalah seribu rahmat buat Malik dan isteri yang telah lama menunggu cahaya mata sejak 7 tahun. Nur Jannah amat mudah dijaga oleh Siti dan Malik. Usia Nur Jannah telah mencecah sebulan. Siti dan Malik telah membawa anak mereka untuk ke klinik kesihatan bagi temujanji yang pertama. Bacaan kuning Nur Jannah tidak tinggi dan amat melegakan Siti. Namun doktor telah membuat surat kepada Siti untuk membuat pemeriksaan lanjut ke hospital bagi mendapatkan temujanji dengan pakar kanak-kanak mengenai keadaan anggota badan anaknya itu. Menjelang usia Nur yang mencecah setahun, doktor telah mengesahkan bahawa Nur adalah bayi Down Syndrome. Ini dapat dilihat menerusi keadaan kepala, leher dan jari tangan serta kakinya memang menunjukkan ciri-ciri Down Syndrome. Siti dan Malik redha akan ketentuan Ilahi dan tidak mematahkan semangat untuk mendidik dan memberikan yang terbaik terhadap anak mereka. Kini, umur Nur Jannah telah mencecah 5 tahun. Ragam dan aksinya memang mencuit hati Malik dan Siti. Nur Jannah jarang sungguh sakit. Namun jika sudah sakit, memakan masa seminggu juga untuk sembuh. Oleh itu, Siti tidak culas untuk memberi vitamin untuk menguatkan tubuh badan anaknya supaya jarang mendapat penyakit. Mereka telah menempatkan Nur ke sebuah tadika swasta yang menerima anak-anak berkeperluan khas. Pemilik tadika tersebut turut mempunyai anak berkeperluan khas yang berumur sebaya dengan Nur. Nur amat petah berkata-kata dan tiada masalah dalam pertuturan. Keadaan fizikalnya yang mengikut perkembangan juga membuatkan Malik dan Siti berasa gembira dan lega. Apabila Nur telah masuk ke Tahun 1, Siti telah mendaftarkan anaknya ke kelas inklusif di dalam sekolah tempat Siti mengajar. Ini demikian kerana dari segi akademik, Nur cepat tangkap dan agak bijak dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Oleh yang demikian, Nur berjaya ditempatkan ke kelas Tahun 1 bersama kanak-kanak tipikal yang lain. Siti memberitahu guru kelas anaknya itu berkenaan dengan prestasi Nur sebelum ini semasa di sekolah lain. Usia Nur telah menginjak ke 10 tahun. Nur makin petah berdebat dan aktif bergerak serta peramah orangnya. Menjelang bulan Ogos, sekolah Siti ingin menganjurkan beberapa pertandingan peringkat sekolah sempena bulan kemerdekaan. Antara pertandingan tersebut ialah, menulis cerpen, mendeklamasikan sajak, perbahasan, menulis jawi dan mewarna. Nur telah menyatakan hasrat kepada ibunya ingin memasuki pertandingan mendeklamasikan sajak. Walaupun umurnya masih muda, semangat ibunya yang ada dalam diri Nur memang terpahat lama sejak Nur dalam kandungan lagi. Siti menggalakkan Nur untuk memasuki lebih daripada satu pertandingan. Namun setakat ini, Nur bersungguh-sungguh untuk meminta ibunya mengajar mendeklamasikan sajak. Nur telah memberi nama kepada guru kelas untuk memasuki pertandingan sajak. Nur telah mendapat tempat pertama hasil ajaran oleh ibunya. Dalam masa yang sama, Nur turut memasuki pertandingan menulis cerpen tanpa pengetahuan ibunya. Namun berita ini telah sampai ke pengetahuan ibunya juga. Semasa zaman muda ibunya dahulu, Siti memang bergiat aktif dalam menulis cerpen dan sajak. Bak kata peribahasa, ‘kemana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’. Masakan Nur tidak mengikut jejak langkah ibunya yang suka berkarya. Walaupun Syndrome Down, ini tidak mematahkan semangat Nur untuk terus berkarya sama seperti sifat ibunya. Siti turut membantu anaknya dalam mengemaskini cerpen yang telah dihasilkan oleh anaknya untuk dihantar kepada guru kelasnya. Guru besar turut memuji kesungguhan Nur, walaupun mempunyai kekurangan, namun tidak mematahkan semangat untuk terus berkarya seperti ibunya. Di samping itu, Nur turut rajin menghantar karyanya ke majalah sekolah untuk tatapan umum. Pada umur 12 tahun, Nur telah tercalon bersama 2 rakannya yang lain menjadi wakil sekolah untuk pertandingan menulis cerpen. Sifat Nur yang suka membaca buku membolehkan Nur berkarya seperti orang dewasa. Perkataan yang digunakan amatlah moden dan terkini yang mana mengikut peredaran zaman masa kini. Nur telah memenangi tempat pertama yang mewakili sekolahnya ke peringkat daerah. Siti amat bangga dengan pencapaian Nur yang luar biasa itu. Pencapaian Nur bukan sahaja di peringkat sekolah rendah, namun beliau turut membawa nama sekolah menengahnya ke peringkat negeri. Rekod pencapaian Nur amat baik dan menjadi perbualan guru di sekolahnya. Dalam masa yang sama, ada juga seorang rakannya yang berasa tidak puas hati akan kejayaan yang dimiliki olehnya. Nur telah memberitahu kepada guru kelasnya, yang dia tidak mahu memasuki pertandingan menulis cerpen kali ini dan dia ingin memberi peluang kepada rakannya yang lain untuk mencuba rezeki pula. Guru kelasnya hanya mengangguk tanda setuju dan hormat akan keputusan yang dibuat oleh Nur. Nur mengalah kali ini dan tidak mahu bermasam muka dengan rakan sekelasnya itu. Siti memuji sifat Nur yang sentiasa mengalah jika ada apa-apa masalah yang dihadapi olehnya di sekolah. Di samping itu, Siti turut bangga mempunyai anak seperti Nur, walaupun ada kekurangan namun keistimewaan dan bakat semula jadi yang dimiliki oleh Nur membuatkan mereka suami isteri bersyukur akan ciptaan Allah yang unik ini. Selain itu, Nur turut mengambil inisiatif yang lain dengan menyertai pertandingan cerpen di luar kawasan sekolah. Nur telah melihat dan mencari di laman web mengenai sebarang penyertaan cerpen yang boleh dia buat dan hantar tanpa melibatkan perasaan rakan sekelasnya yang tidak puas hati itu. Dalam masa yang sama, Nur turut merujuk ibunya dan ingin meminta bantuan ibunya dalam membuat sedikit suntingan selepas dia habis menulis cerpen. Selang 2 minggu selepas Nur menghantar penulisan cerpennya, dia telah mendapat satu makluman dalam e-mel mengatakan yang cerpennya telah menang dan terpilih untuk mewakili Malaysia dan bertanding dengan negara Asia yang lain. Berkat usaha dan sifat mengalah Nur, dia tetap boleh berkarya dan boleh membanggakan kedua ibu bapanya di samping untuk simpanan masuk ke universiti nanti. Walaupun Nur aktif menulis cerpen, pelajarannya tidak akan dilupakan dan sentiasa mengulangkaji bersama sahabat baiknya, iaitu Farah. Selain ibunya, Farah juga teman yang sentiasa ada untuk mendengar luahan dan perasaan yang dialami oleh Nur. Mereka berdua mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Nur dapat membuktikan bahawa yang dia turut boleh mendapat keputusan cemerlang walaupun sibuk menulis cerpen. Dalam masa yang sama, Malik dan Siti berasa bersyukur dan lega kerana Nur bukan sahaja anak istimewa, namun boleh juga berjaya seperti anak tipikal yang lain. Semangat Nur yang ingin berjuang dalam memartabatkan cerpen di negara ini walaupun masih pelajar sekolah menengah tidak dapat disangkal oleh kedua ibu bapanya serta guru-guru di sekolah. Semangat Nur berkarya dalam cerpen bukan sahaja semasa zaman persekolahan, tetapi beliau tetap teruskan di zaman universiti juga. Nur turut menasihatkan kepada adik-adiknya bahawa setiap kejayaan tidak akan datang bergolek. Walaupun dirinya ada kekurangan, namun berkat sokongan dan usaha ibu bapa terhadap dirinya menjadikan beliau sentiasa positif dan bersemangat serta berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Dalam masa yang sama, Nur sentiasa pahatkan dalam dirinya jangan jadikan kekurangan itu sebagai satu bebanan, malah ambillah peluang untuk memajukan diri dan keluarga. 


Ain Lee

Januari 2021