1. Cerpen - Motivasi
orangena
2 tahun yang lepas
Surat Berkepala Biru

TAJUK: “Surat Berkepala Biru”.


Mataku memandang lesu pada sepinggan nasi yang tidak terusik di atas meja. Tangan yang hanya sempat menjamah ikan goreng sudah kering tanpa dibasuh. Hampir sepuluh minit aku termenung begini. Terlintas di fikiranku tentang cakap orang-orang tua yang tidak baik termenung mengadap rezeki. Nanti rezeki itu sendiri akan lari tinggalkan kita. Ah! Aku mengeluh kecil. Rezekiku memang sudah lama lari tinggalkan aku.

 Aku memandang jauh ke luar tingkap dapur. Gusar dan resah fikiranku sekarang. Daun-daun pokok yang menghijau tidak dapat menyegarkan fikiranku saat ini. Ini semua disebabkan sekeping surat yang bercop rasmi sebentar tadi. Surat yang aku harapkan untuk memberi khabar gembira rupanya telah merobek sisa-sisa kegembiraan yang bertapak di hatiku.

Dukacita.

Sepatah kata yang tertulis di bawah namaku membuatkan aku hilang arah. Ini sudah kali ke lima aku menerima surat sebegini. Surat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu tidak pernah membahagiakanku. Tidak fikirkah mereka yang aku ini juga punya perasaan? Punya cita-cita?

Kali pertama aku menerima surat yang sama seperti ini adalah tujuh tahun lalu. Ketika itu aku masih ingat yang aku habiskan masa seharian menangis di dalam bilik. Makanan tidak kusentuh. Kata-kata semangat daripada orang-orang di sekelilingku seakan tenggelam timbul. Seminggu jiwaku seakan melayang entah ke mana.

Akhirnya aku pulih sendiri. Membuka kembali laman sesawang SPA dan mengemaskini maklumat-maklumatku di situ. Pantang ada jawatan kosong yang terselit di celah-celah dada akhbar, akanku mohon secermat mungkin. Ada yang memberi maklum balas, dan ada juga yang sunyi kelam tanpa berita.

Berkat kesabaranku mengisi dan mengemaskini maklumatku di laman sesawang mencari kerja itu, aku kembali dipanggil untuk diuji dan ditemuduga. Kali ini aku nekad mencuba nasib menggunakan pertolongan Orang Besar. Yalah, katanya untuk mendapat pekerjaan, lebih mudah jika kita ini punya sokongan kuat. Lagi-lagi jika sokongan itu datangnya daripada Pak Menteri. Dengan rasa sedikit ringan kerana mendapat surat sokongan daripada Pak Menteri, aku melangkah masuk ke bilik temuduga. Namun, entah apa yang tidak kena, sang penemuduga hanya berbual isu politik denganku. Kisah dirinya yang dihalau daripada negeri sendiri kerana berpaling tadah dengan pucuk pimpinan dikisahkan kepadaku dengan panjang lebar. Dan aku, termanggu-manggu mendengar kisahnya dengan senyuman di bibir yang aku rasakan semakin lama semakin tawar manisnya. Akhirnya pada penghujung temuduga, aku dijanjikan dengan janji manis yang diriku akan ditolong dengan sebaiknya. Maka tahulah aku ketika itu yang sekeping surat itu telah memberi impak yang besar kepadaku.

Dua bulan selepas temuduga yang sudah ditabur dengan janji manis itu, surat berkepala biru itu muncul lagi.

Dukacita.

Mindaku saat itu seakan terawang ke luar cakerawala. Begitu kejam dunia ini. Adakah ini hasil daripada surat sokongan Pak Menteri tempoh hari? Adakah ini hasilnya jika aku letakkan harapan pada manusia? Aku masih lagi ingat yang emak hanya menepuk lembut tanganku ketika itu. “Rezeki itu bukan di tangan manusia.” Lembut bicara emak menyentak imanku kembali kepada Sang Pencipta. Aku diam seribu bahasa mendengar bicara emak ketika itu.

Angin panas yang datang secara tiba-tiba menampar pipi menyentak aku dari lamunan yang sudah tiada makna itu. Langit benar-benar cerah di luar. Adakah mustahil jika hujan tiba-tiba turun ketika ini? Nafas kecil aku lepaskan sambil menyapu air panas yang sudah mula mengalir laju dari tubir mata. Surat berkepala biru aku ramas keras lalu kuhantar ia masuk ke dalam tong sampah. Selamat tinggal si kepala biru untuk hari ini. Esok-esok akan kumohon lagi kerja.