1. Cerpen - Cinta
pommie
2 tahun yang lepas
Teratai, bukan Lily!

  

 September 1997


   "Teratai, emak panggil pulang! Makan!" Panggilan Khusyi membuatkan anak kecil dengan mata yang bulat itu berlari-lari anak menghampirinya. Mereka berpimpinan tangan untuk pulang ke rumah.


   "Lily! We've not done yet!" Panggilan Charleston membuatkan Teratai menoleh. Senyuman manis diukir buat Charleston. Anak Inggeris yang sudah hampir setahun menjadi teman sepermainannya.


   "I'll be back later! You go home too! Eat first!" Charleston hanya mampu melepaskan keluhan mendengarkan itu. Rumah kecil yang mereka bina daripada dahan kayu yang patah dan daun-daun kering itu akhirnya ditinggalkan saja.


   Di sebuah Villa besar yang terletak di atas bukit, seorang lelaki di lewat usia 30-an duduk di beranda rumah. Dahinya berkerut-kerut membacakan isi kandungan surat di tangannya.


   Charleston melangkah malas menghampiri ayahnya. Rambut kuning keemasannya beralun ditiup angin petang.


   "Charleston Sylvester, where have you been this entire morning?" Pertanyaan Morrison Sylvester membuatkan tangan kecil yang baru hendak memulas tombol pintu terhenti.


    "I'm playing with Lily." Charleston berkata jujur. Morrison melepaskan keluhan.


    "Have you done packing up your things?" Pertanyaan itu membuatkan Charleston terdiam. Tangannya menggenggam penumbuk.


    "I don't wanna leave this place! This is my home!" Charleston membentak dan berlari meninggalkan villa tersebut tanpa sempat dihalang oleh Morrison.


    Lelaki itu hanya mampu mengurut kening melihatkan tingkah Charleston. Apa yang pasti, tingkahnya berkait rapat dengan Lily yang selalu dia ceritakan. Mungkin dia sudah silap membiarkan anak kecil itu berteman.


   Teratai menjenguk di sebalik jendela. Melihat kalau-kalau Charleston muncul di situ. Namun tiada kelihatan kelibatnya di mana-mana.


   "Abang, Teratai hendak keluar. " Wajah Khusyi dipandang penuh pengharapan. Khusyi menggelengkan kepalanya. Emak mereka sudah pesan tadi, Teratai tidak boleh keluar lagi.


   "Tak boleh." Khusyi cuba bertegas, namun wajah meminta simpati Teratai terlihat sangat kasihan. Mata bulat itu sengaja dikecilkan dengan bibir yang dijuihkan.


   "Tolonglah abang, sekali ini saja. Teratai sudah berjanji dengan Charles. Nanti dia tunggu Teratai." Teratai tunjuk jari kelingking. Khusyi akhirnya membenarkan. Namun hanya untuk sebentar.


   "Lekas pulang sebelum emak pulang dari sawah." Teratai mengangguk laju. Sebelum keluar dia sempat mengambil satu biji kopi yang sudah dikeringkan.


   Tiba di tempat mereka mendirikan rumah kecil, Charleston terlihat sudah duduk menantinya di bawah pohon rambutan. Teratai tersenyum riang melihatkan si rambut kuning itu.


   "Charles!" Charleston yang tunduk mengangkat wajah. Senyumannya terlakar indah melihatkan wajah ceria Teratai. Lesung pipitnya terlihat manis saja.


   "Lily! I thought you didn't come." Wajah si kecil kembali bersinar. Buat seketika, dia lupa yang keluarganya akan meninggalkan tempat tersebut.


    "Here. I brought something for you." Charles menghulurkan tangan apabila Teratai ingin memberikan sesuatu di dalam genggamannya.


    Apabila Teratai letakkan sebiji kopi yang sudah dikeringkan di atas tangannya, dahi Charleston berkerut.


   "Why are you giving me this?" Teratai tayang sengih. Dia tidak menjawab pertanyaan Charleston. Hanya senyuman yang diukirkan buat lelaki itu.


   "Charleston!" Panggilan Anne Sylvester membuatkan dua kanak-kanak itu terus berpaling. Wajah garang ibu Charles menyapa pandangan mereka. Apabila matanya bertentang dengan pandangan Teratai, Anne tersenyum.


   "Sorry Lily, I have to take him home this instant. Charl, have you said your farewell?" Mata Teratai terus membulat memandang Charleston. Sahabatnya yang satu itu tidak memandang wajahnya lagi.


    "Are you leaving this place?" Pertanyaan Teratai membuatkan senyuman Anne memudar. Dipandang wajah Charleston yang muram.


   "We are going back to London Lily, Charl's grandfather is so sick right now. " Kata-kata Anne membuatkan Teratai tertunduk seketika. Dia bagaikan berfikir sesuatu.


   "When will you be back?" Sekali lagi dia bertanya. Reaksi wajahnya masih tenang. Walaupun dia masih kecil, dia sudah faham benar dengan apa yang bakal berlaku. Reaksi wajah Anne jelas menunjukkan segalanya.


   "We won't be back, dear. " Charleston yang sudah membelakangi Teratai dipandang simpati. Dapat dia lihat dengan jelas mata anaknya yang yang sudah berkaca.


   Teratai hanya diam di situ. Dia sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Belakang tubuh Charleston dipandang penuh harapan agar kanak-kanak lelaki itu berpaling dan mengatakan sesuatu. Mungkin itu kali terakhir mereka akan bertemu.


   "Charl dear, you can talk to Lily for a while. Mom will be waiting there." Memberikan ruang untuk dua anak kecil itu berbicara. Namun belum sempat dia hendak berlalu, Charleston sudah berlari pergi terlebih dahulu.


   "Charleston! " Anne cepat-cepat mengejar anaknya. Teratai yang melihatnya terkaku sendiri. Sebagai seorang anak kecil, dia belum pernah merasakan peritnya perpisahan. Oleh itu, sukar baginya untuk bereaksi dengan perasaannya ketika itu.

   


   Lama Teratai menunggu di tempat yang sama, namun kelibat Charleston tidak juga keihatan. Dia tertanya sendiri adakah mereka sudah benar-benar pergi. Jika benar, dia sudah tidak punya teman bermain lagi.


  "Teratai. Kenapa masih di sini?" Khusyi yang datang untuk menjemputnya bertanya risau. Melihatkan riak wajah Teratai yang muram, pasti sesuatu telah terjadi.

Namun Teratai hanya diam membisu.



Oktober 2017


    Filem kamera lama abah yang dia temui di simpanan barang lama itu disimpan kemas di dalam beg tangan. Dia akan mencuci semua gambar yang ada di situ.


   Mungkin susah untuk mencari kedai yang masih membuka khidmat sebegitu, namun dia akan mencuba. Gambar keluarga yang tersimpan kemas di dalam laci dipandang.


    Wajah manis abangnya yang tersenyum membuatkan hatinya merintih rindu. Satu-satunya abang yang dia miliki sudah hampir lima tahun meninggalkan mereka.


   Tangan ditadah dan bibir membacakan surah Al-fatihah untuk dihadiahkan buat abangnya. Arwah Khusyi Hardhan bin Abdul Rauf. Abang kesayangannya.


   "Teratai dah nak balik sana ke?" Pertanyaan emaknya membuatkan Teratai tersenyum. Sudah hampir sepuluh kali emak bertanya. Risau sangat nak melepaskan anaknya yang tinggal seorang itu.


   "Iya mak. Teratai cuti sekejap saja. Nanti minggu depan Teratai balik sini lagi." Tangan emak dicapai dan dikucup lembut.


   "Yalah. Hati-hati jalan tu. Nanti kalau lalu kat ladang kopi jangan lupa jumpa abah dulu." Sempat emak menitipkan pesan. Teratai hanya mengiyakan.


   Beg pakaian dimasukkan ke dalam kereta. Dari jauh terlihat kelibat dua orang kanak-kanak lelaki yang berkejaran dengan basikal. Anak-anak buahnya, kembar seiras Hildan dan Zahin.


   "Kak Su! Awalnya balik." Hildan si abang terus bertanya. Zahin pula tertinggal sedikit di belakang.


   "Apanya kak su! Emak dah pesan kan panggil mak su!" Emak menyelit dari beranda rumah. Zahin yang baru tiba terus membrek basikalnya.


   "Neneklah bukan emak!" Zahin membetulkan membuatkan emak tayang jelingan tajamnya. Mereka hanya mampu tertawa.


    "Ibu korang mana?" Teratai menanyakan mengenai balu abangnya, Hanisah yang sudah macam kakak dia sendiri. Walaupun arwah abangnya sudah tiada, Hanisah tetap sebahagian daripada keluarga mereka.


   "Ibu masih di sawah." Hildan laju saja menjawab. Sambil itu, dia memandang ke beranda. Setelah memastikan emak tidak mendengar perbualan mereka, barulah dia bersuara.


   "Kak Su jangan lupa set kapal terbang yang Hildan minta tu. " Separuh berbisik Hildan mengingatkan. Zahin juga merapati mereka.


   "Zahin punya pun kak Su! Set kereta kawalan jauh tu ya." Senyuman Zahin melebar. Berbeza dengan Hildan, senyuman Zahin terlihat lebih ikhlas. Senyuman Hildan pula terlihat sedikit nakal.


   "Yalah. Kak Su ingat. Korang jangan nak nakal-nakal pula, dengar cakap ibu, nenek dengan atok. Kak Su jalan dulu." Mereka menyalami tangan Teratai sopan.


   Lambaian mereka menghantar kepergian Teratai. Dua orang anak lelaki yang berusia 12 tahun itu sememangnya sering dimanjakan oleh Teratai macam anaknya sendiri.


   "Teacher Abdul Rauf! I'm here! " Teratai sengaja speaking dengan abahnya yang merupakan bekas guru bahasa Inggeris itu. Guru yang tidak akan pernah kehilangan panggilannya. Jasamu dikenang, cikgu.


   "My daughter is here! " Abah tersenyum melihat kehadiran anak gadisnya.


   "Dah nak balik?" Sengaja abah bertanya walaupun hakikatnya dia juga seperti emak, sudah banyak kali bertanya hal yang sama dari kelmarin.


   "Iya abah. Banyak kerja nak kena buat. " Abah mengusap lembut kepalanya yang ditutupi tudung. Tidak sangka anak gadisnya itu sudah dewasa.


   "Hati-hati di jalan tu. Jangan kerja sangat. Kalau dah penat kerja tu, baliklah. Abah masih larat nak tanggung kamu." Sengaja abah lirihkan suaranya.


   Teratai tergelak kecil. Ada-ada saja abahnya itu. Namun, jauh di sudut hatinya, Teratai tahu. Abah risaukan anak perempuannya.


   "Teratai masih laratlah abah. Kerja tu senang je." Lambaian abah di pantulan cermin pandang belakang menghantar kepergian Teratai.

   


    Setelah penat mencari dan dengan bantuan teman-temannya, akhirnya dia dapat juga berjumpa dengan kedai gambar lama. Sampul tebal berisi gambar-gambar yang sudah dicuci dibiarkan sebentar di ruangannya.


   Hari itu, sperti biasa kedai kopinya dihujani dengan pelanggan. Tidak menang tangan dia dan para pekerjanya melayani pelanggan.


   Hanya apabila suasana lengang sedikit, barulah dia mampu meregangkan ototnya. Teratai duduk bersandar pada kerusinya. Sambil-sambil itu mindanya berfikir untuk menambah pekerja baru.


   Nanti dia akan membuat keputusan setelah menyemak semula modal yang ada hasil daripada keuntungan mereka. Jika cukup untuk mengupah seorang lagi pekerja, nanti dia akan pertimbangkan.


   Sampul di atas meja menarik perhatiannya. Perlahan sampul ditarik. Senyumannya terlakar indah melihatkan gambar pertama di dalam sampul.


   Gambar dirinya ketika masih berusia enam tahun. Gambar yang kedua pula diselak. Gambar dirinya pada waktu yang sama namun bersama seorang kanak-kanak lelaki berambut kuning keemasan.


   Senyumannya sedikit memudar. Satu nama yang samar-samar kembali ke kotak fikiran. Akhirnya memori yang dicari membuatkan dia tergelak sendiri.


   "Teratai, bukan Lily!"


   Masih dia ingat dengan jelas akan hari itu. Hari pertama dia bertemu dengan Charleston Sylvester. Anak Inggeris yang pada mulanya menjengkelkan.


   "Teratai? " Dengan pelat Inggerisnya, Charleston cuba menyebut nama itu namun terdengar pelik di telinga Teratai.


   "It's okay, you can just call her Lily. Maksudnya masih sama." Abah terus saja mencadangkan. Walaupun Teratai pada mulanya tidak suka apabila namanya ditukar, lama kelamaan dia akhirnya akur juga.

   

   Entah bagaimanalah agaknya keadaan sahabatnya itu kini. Senyumannya tidak lepas di bibir melihatkan gambar-gambar seterusnya.


    Apabila melihat gambar lama abangnya, dia tersenyum nipis. Waktu itu abangnya masih terlihat sihat. Abang kesayangannya yang ketika itu berusia 16 tahun.


   Ketukan pada pintu mengejutkan-nya dari kenangan masa lalu. Setelah mendapat keizinan masuk, wajah Suria yang menyinar bagaikan mentari terjengul.


   "Bos, kita ada tetamu special. Hensem bos, hensem!" Teratai tergelak melihatkan kesungguhan Suria menyatakan kehenseman tetamu special itu.


    "Tak sudah dengan hensemnya." Gambar disimpan kembali ke dalam sampul sebelum dia meninggalkan ruangannya.


   Susuk tubuh yang membelakanginya itu terlihat sedangan berbual dengan Taufiq, barista utama di kafe mereka. melihatkan kehadiran Teratai, Taufiq tersenyum lebar.


   "She's here." Perlahan lelaki itu menoleh. Teratai sedikit terpegun melihatkan mata biru itu. Senyuman lelaki itu membuatkan lesung pipit di pipinya terlihat jelas.


   "Teratai Kaseh." Lelaki berambut kuning keemasan itu terlihat gembira bertemu dengannya. Teratai bagaikan tidak percaya. Senyumannya juga terukir indah sekali.


   "Charleston Sylvester? Is that really you?" Teratai tidak dapat menahan keterujaannya. Senyuman lelaki di hadapannya sedikit memudar. Dahinya berkerut.


   "Do you know me?" Senyuman Teratai terus mati mendengarkan kata-kata lelaki itu. Dia silap orang ke? Sedikit kekecewaan menyapa di jiwa.


   Setelah mereka duduk bersantai di ruangan kerja Teratai, Taufiq menghidangkan kopi. Dapat dia rasakan kejanggalan pada Teratai ketika itu.


   Pintu dibiarkan terbuka luas. Teratai hanya tunduk memandang meja. Namun dapat dia rasakan pandangan lelaki bermata biru di hadapannya itu jelas ke arahnya.


   "By the way, I haven't introduce myself yet. I'm Fateh Abdullah. I'm from London and nice meeting you." Teratai akhirnya mengangkat wajah. Sedikit malu dengan perlakuannya menebak nama lelaki itu tadi.


   Lagipula, bukan hanya dia lelaki yang berambut kuning keemasan dan lesung pipit yang unik itu. Lagipula, cara lelaki di hadapannya itu menyebut Teratai tadi sangat jelas.


   "Nice to meet you too." Suasana kembali sepi. Fateh menyimpan senyuman. Tingkah Teratai benar-benar membuatkan dia hendak tergelak.


   Setelah membincangkan tentang projek kolaborasi untuk melancarkan produk baru yang dihasilkan oleh syarikat mereka, Teratai yang berpuas hati akhirnya menurunkan tandatangan pada kontrak.


   "Thank you so much for this smooth discussion. You really are a great businesswoman." Teratai hanya mampu tayang senyuman nipis mendengarkannnya.


   Belum sempat Teratai hendak bernafas dengan tenang, Fateh yang baru hendak melangkah keluar berpaling. Wajahnya bagaikan menyimpan sesuatu.


   "I actually have something for you." Teratai terus angkat wajah. Teratai sedikit terbingung apabila lelaki itu menghulurkan tangannya. Namun dia hulurkan juga tangannya untuk menyambut pemberian Fateh di dalam genggaman.


   Sebiji kopi yang dipahatkan di dalam kristal jatuh ke tangan Teratai. Mata Teratai terus membulat. Dipandang wajah lelaki di hadapannya.


   "For my Lily." Mendengarkan itu, Teratai terus menepuk dahi. Senyumannya sudah tidak tertahan lagi.


   "How dare you fool me!" Charleston Sylvester tergelak apabila Teratai mencucuknya menggunakan pen.


   Pertemuan semula mereka sememangnya tidak pernah terjangka akan terjadi. Namun mungkin hanya untuk Teratai.


   Kerana bagi seorang lelaki bernama Charleston Sylvester yang kini merupakan Fateh Abdullah, dia sudah lama merancangnya.

   

   "Teratai, bukan Lily!"

   Sampai bila-bila, kata-kata pertama Teratai Kaseh kepadanya akan terpahat di ingatan.



The end.

  


   “Let us be grateful to the people who make us happy; they are the charming gardeners who make our souls blossom.”– Marcel Proust