Aziey_Id
2 tahun yang lepas
Warkah sang gadis

Salam dariku buatmu,


Aku hanyalah seorang gadis biasa, masih mentah dalam berkata-kata apatah lagi menyelit bait mutiara.


Saja ingin aku luahkan di atas putih kertas ini, bahawa hidup ini cumalah sementara. Bahagia di sini bukanlah penentu gembira pada saat noktah kembara. Hidup diangkat takhta, dijulang nama apatah lagi menongkah makna syahadah yang sebenarnya. Aku lihat sang ibu dan remaja, bermegah dengan cantik di muka, indah di tubuh. Aku lihat sang ayah alpa dan menolak tanggungjawab, anak-anak lelaki yang mengikut jejak suri teladannya. Semua ini mungkin kukira kebiasaan zaman moden ini, hidup sekadar bertuhankan gajet malah manusia atau artis yang didampingi setiap hari. Sentiasa mengingat dan mencontohi lagaknya seperti ulama dan nabi? Aku tahu inilah nasihat buatku juga dirimu, sang khalifah yang diberi nikmat hidup sehingga kini, di atas bumi ini.


Aku tahu bahawa jantung yang masih berdetak setiap saat selagi belum termaktub sebuah kematian, pasti mengimpikan kebahagiaan. Ada tafsiran bahawa mengenakan fesyen yang hebat dan menonjolkan sebahagian aurat layak mendapat tempat di hati sang manusia yang memandang. Indah sekali ciptaanNya! Memang indah apabila dimakan pujian tetapi sementara itu terlalu pasti untuk tidak menidakkan hakikat bahawa kita terpaksa meletakkan Allah yang keduanya. Begitu tafsiran bahagia seorang perempuan? Darjat yang hebat di sisiNya serta maruah yang tidak tergapai oleh sesiapapun melainkan yang istimewa. Kitakah yang memusnahkan khalimah dan janji terindah dariNya?


Ya, kau seorang khalifah di bumi ini. Seorang pemimpin dan ketua... engkaulah yang mencorakkan hati anakmu. Engkaulah sang ayah mahupun bakal ayah yang menjadi acuan buat pengikutmu, seorang isteri yang solehah dan setia berkorban demi mu, wahai lelaki. Apabila melihat seorang isteri, pernahkah engkau terfikir pinjaman dariNya buatmu ini sekadar menjadi hambamu atau amanah yang selayaknya layanan dan kebaikan? Saat ini, aku sedih mengenangkan nasib wanita di luar sana yang berada dalam cengkaman seorang lelaki yang tidak memahami dan menganggap bahawa merekalah tuan buat seorang wanita bergelar zaujah.


Saat ini, memang kemusnahan adalah sebahagian daripada bumi ini. Memang itulah kataNya yang kita baca daripada tulisan Al-quran. Adakah telahan kita hanyalah memahami dan menanti waktu untuk berhijrah, ketika mana kononnya hidayah belum disahut? Sesungguhnya, hidayah perlu dicari.


Buat diriku dan yang membaca ini, sampaikanlah walau secebis ilmu yang tersirat dalam nasihat. Sesunggunya, yang terbaik dalam kalangan kita adalah kerana amalannya bukanlah pada segak busana mahupun nilai hartanya. Wanita... aku juga wanita yang punya rasa untuk melihatkan rupa paras yang indah tatapannya. Tapi... untuk siapakah aku persembahkan sebuah dosa? Bercantiklah dengan sederhana dan tutuplah aurat kita kerana yang terbaik itu akan hadir menjadi bidadara. Wahai lelaki, aku juga punya abang dan ayah. Perasaan kian menghimpit apabila melihat sebuah kepalsuan yang ditunjukkan daripada seorang yang mulia. Tetapi... mulia pada apa saat menolak tanggungjawab pada lemahnya sang isteri. Demi dirimu, kudrat yang kian luput tidak sekali dihiraukan. Lihatlah dengan mata hati yang masih dipinjamNya.